“Ustaz, saya hairan macam mana ustaz kawal kursus yang ustaz anjurkan? Dua tiga orang, cukupkah?”, tanya seorang pelajar kepada saya.
“Emm, menarik juga soalan tu. Ustaz pernah kendalikan kursus untuk pegawai penguatkuasa seramai 72 orang hanya dengan dua tenaga sahaja”, saya cuba menyelak memori semasa bekerja sepenuh masa dengan Fitrah Perkasa.
“Macam mana nak kawal orang ramai macam tu? Kami kalau nak anjurkan kursus, tamrin atau program induksi, paling kurang kena ada 20 orang AJK. Silap-silap sama ramai dengan peserta”, sambung pelajar itu lagi.
Kami ketawa.
Ya, bagi seorang pelajar, mungkin agak menghairankan bagaimana saya dan tenaga kerja Fitrah Perkasa boleh mengendalikan kursus selama 3 Hari 2 Malam, sedangkan nisbah fasilitator dengan peserta ialah 1:25 malah pernah 1:40.
Ia bukanlah soal pelajar atau pekerja. Tetapi cara kita menilai dan melayan kemanusiaan manusia.
“Apabila kursus bermula, kita kena faham yang mungkin 90% daripada peserta itu hadir kerana terpaksa. Hadir kerana diwajibkan oleh syarikat”, saya memulakan perkongsian idea.
“Rasa terpaksa itu selalunya bukan dibuat-buat. Memang setiap seorang peserta itu datang dengan membawa luggage kehidupan masing-masing. Ada yang terpaksa meninggalkan ibu di hospital. Ada yang terpaksa mengupah pemandu teksi untuk mengambil dan menghantar anak di sekolah. Ada yang isteri terpaksa mengambil cuti, dan macam-macam lagi”, saya mahu pelajar ini melihat apa yang tidak diperlihatkan.
KEPEDULIAN
“Ingat tak kepada ungkapan yang ustaz selalu sebut tentang hal ini?”, saya bertanya.
“Apa dia ustaz?”, pelajar itu tidak pasti.
“People don’t care how much you know until they know how much you care! Orang tak peduli sebanyak mana kita tahu, sehinggalah mereka tahu sejauh mana kita peduli”, saya cuba mengingatkan pelajar tersebut.
“Oh, ya saya ingat dah”, katanya sambil tersenyum.
Sesi pertama saya bersama peserta mana-mana kursus, saya dilatih di Fitrah Perkasa supaya mengusahakan keselesaan peserta. Tunjukkan kepada mereka dengan hati yang tulus ikhlas, bahawa kita memahami dan mengambil kira kesusahan masing-masing untuk datang ke program tersebut. Saya perlu tenteramkan peserta dan “cuba mengambil hati mereka”.
“Kursus ini tidak ada agenda cium pokok, makan bubur kulit limau, atau rendam kepala dalam air. Kursus ini kursus tuan-tuan dan puan-puan. Solat 5 kali, makan 6 kali! Anggap sahajalah ia cuti-cuti Malaysia. Jalan-jalan cari…?”, saya mencuba ice-breaking.
“Makannn!!!”, sahut peserta diiringi gelak ketawa mereka.
“Sudah-sudahlah cari makan tu ya. Biarlah kali ini kita jalan-jalan cari ilmu pula!”, saya atau mana-mana sahaja fasilitator Fitrah Perkasa akan berusaha memesrakan diri dengan peserta.
Ketika itu lazimnya peserta ini akan bergurau sesama mereka.
“Ha, tu la nko, asyik fikir makan aje. Malu la sikit kat ustaz!”, kata seorang peserta kepada rakan di sebelahnya.
Saya hanya membiarkan mereka saling bergurau. Tetapi mata saya terus memerhati seorang demi seorang peserta. Siapakah di peringkat itu yang masih sejuk dan beku. Masih masam dan berwajah jemu. Perhatikan… dan camkan orang dan namanya.
Semasa sesi perkenalan selesai, ketika orang sedang makan-makan, saya atau mana-mana fasilitator akan datang secara halus kepada peserta yang pendiam itu, duduk di sebelahnya, dan menawarkan kuih yang diambil.
Bertanyakan nama, rumah di mana dan cuba cari satu dua tajuk yang boleh dijadikan titik perbualan.
“Oh, Encik Zam tinggal di Cheras. Saya pun sama. Cuma saya di Taman Midah. Encik Zam duduk di bahagian Cheras yang mana?”, saya mengusahakan perbualan.
“Saya di Cheras Jaya”, jawab peserta tersebut perlahan.
“Gitu… saya tak tahu sangat Cheras Jaya di sebelah mana. Cuma adalah perasan signboard tu”, saya menyimpulkan persoalan yang dikongsi.
Cukup setakat itu. Apabila dia sudah sudi menjawab soalan yang ditanya, ia sudah cukup baik. Tidak perlu dikorek pada masa itu masalah yang dihadapinya. Simpan di hari kedua nanti. Jangan jadi ‘penceroboh’, menceroboh hidup orang. Cukup sekadar kita tunjukkan dengan perbuatan yang kita ini pedulikan dia. Kehadirannya kita sedari dan telah ditanda dengan perbualan ringkas itu.
Begitulah selalunya.
HASAN AL-BANNA DARI KACA MATA ABBAS AL-SISI
Saya sentiasa ingat kisah yang diceritakan oleh Abbas Al-Sisi di dalam bukunya “Jalan Menuju Hati“ tentang pendekatan Hasan al-Banna di dalam dakwahnya.
Suatu ketika seorang lelaki datang ke pejabat Ikhwan al-Muslimin untuk mendaftar sebagai ahli. Apabila Hasan al-Banna melihatnya, beliau berkata, “Assalamualaikum ya Muhammad”
Lelaki itu amat terkejut. Bagaimanakah Hasan al-Banna tahu namanya. Kata Hasan al-Banna, “aku pernah mendengar rakanmu melaungkan namamu semasa kita di sebuah stesyen keretapi!”
Begitu sekali Hasan al-Banna sensitif dalam memenangi hati manusia di sekitarnya. Ia bukanlah skill yang dibuat-buat, tetapi datang dari jiwa yang mempercayai bahawa manusia berhubung dengan perasaan, bukan formaliti dan ilmu kepandaian. Apatah lagi hubungan paksaan.
SUKA MENGHINA DAN MEMALUKAN PESERTA
Namun saya tidak nafikan, dalam pelbagai program sama ada di peringkat pelajar sehinggalah ke alam pekerjaan, memang ramai yang suka membuat pendekatan memalu dan mendera peserta.
“Minta maaf tuan-tuan dan puan-puan. Di sini tak ada Dato’ dan Datin, tak ada Bos dan Manager, semua jawatan tu gantung kat pintu masuk tu. Di sini, saya bos!”, kata seorang penyelia kursus.
“Kamu semua akan diuji sejauh mana ketahanan fizikal dan mental. Maka jangan nak mengeluh kalau makanan tak seperti yang diharapkan”, kata pengarah sebuah program induksi pelajar.
Lalu peserta dikerah mendengar ceramah sehingga pukul 1 pagi. Kemudian bangun jam 4 untuk Qiamullail. Seterusnya sarapan pagi hanya roti keras cicah air sejuk. Dan makan tengah hari, nasi bubur bercampur kulit oren dan biji kopi.
Apa alasan berbuat demikian?
Mahu membina ketahanan mental.
Ketahanan mental atau masalah mental?
TENTERA LAIN
Saya tidak pasti dan tidak ada membuat kajian, dari manakah datangnya kepercayaan perbuatan memalukan manusia dan mendera fizikal, boleh membawa kepada ketahanan diri yang diperlukan? Di dalam sirah Nabi SAW, yang telah berjaya melahirkan pahlawan yang hebat-hebat, saya tidak ketemu pendekatan mendera mental sebagai pembina jati diri sebaik-baik umat itu. Soal kelasakan, ia mungkin tidak perlu dibuat-buat, kerana memang nature kehidupan Arab itu kasar dan amat mencabar.
Namun saya akui, pendekatan itu sudah pun diterima sebagai sebahagian proses membentuk pasukan keselamatan. Polis, tentera, dan mereka yang seangkatan dengannya. Tentu kelasakan begitu adalah sebahagian daripada proses pembentukan.
Tetapi untuk kursus motivasi, program induksi pelajar baru, atau Tamrin membina kefahaman Islam… perbuatan-perbuatan seperti itu hanya memperbodohkan peserta sahaja. Tambahan pula anda hanya penganjur. Bukan ada kuasa untuk menguatkuasa.
Tidak hairanlah jika program begini memerlukan 20 orang AJK dengan nisbah fasilitator dengan peserta 1:2!
Anda bertindak sebagai pengawal, maka berkawallah anda sepanjang masa.
Kita sibuk melatih kader dakwah agar tahan lasak, akhirnya majoriti kecundang sebab kesenangan hidup, bukannya kerana kepayahan.
INSIDE OUT
Tetapi saya percaya bahawa manusia adalah makhluk yang diciptakan Allah inside-out. Perubahan mesti datang dari dalam. Jika perubahan yang dimahukan itu adalah perubahan sikap, perubahan budaya kerja, semuanya membabitkan soal dalaman manusia. Maka proses mengubah manusia, mesti bersifat manusiawi.
Lihat sahaja gerakan Missionary Kristian. Mereka bukan menyampaikan ilmu tentang Bible tetapi mereka menawarkan kepedulian. Dengan kepedulian itu, ia bisa menarik orang untuk terbuka menerima idea perubahan.
Kepedulian bukan ilmu. Jauh sekali indoktrinasi. Ia adalah sikap dan akhlak seorang fasilitator, penceramah dan guru. Kepedulian itu adalah jelmaan perasaan, dan manusia saling berhubung dengan perasaan… bukannya ilmu.
Orang peduli apa, kamu banyak ilmu sampai ke puncak gunung, kalau kamu tidak berjaya menunjukkan prihatin kamu kepada orang lain.
Bahkan Nabi SAW sendiri dikenang dan dikasihi, adalah atas kasih sayangnya kepada umat. Soal ilmu yang diajar sebagai santapan akal, mungkin 7%, tetapi sentuhan akhlak baginda yang tinggi. Keprihatinan baginda, terserlah di dalam peristiwa baginda pergi melawat wanita Yahudi yang tiba-tiba tidak muncul hari itu untuk seperti biasa menyakiti baginda.
Saya ulangi kembali, “people don”™t care how much you know until they know how much you care!“
Jika anda buat program untuk tunjuk pandai, maka bertarunglah anda dengan tindakan peserta yang memperlekeh, buat dunno, atau membalas kembali hujah anda dengan bidasan yang memalukan diri.
Tetapi jika anda buat program untuk memandaikan peserta mengurus kehidupan, maka berikan keselesaan kepada mereka, tenangkan mereka, menangi hati mereka dan berikan apa yang mereka perlu, bukannya apa yang anda tahu.
Kita mahukan dari peserta itu perHATIan, bukannya perAKALan. Jika hati yang mahu dimenangi, binalah jambatan, bukannya tembok.
JADUAL YANG RIGID
Di antara penyakit pelajar semasa menganjurkan program, mereka sangat rigid dengan kepatuhan masa berdasarkan apa yang dilakarkan di atas kertas jadual program. Walhal jadual masa itu bukannya ada asas pun. Ia tidak dibuat berdasarkan kajian terhadap realiti peserta.
Makan buffet, peserta 100 orang, tempoh masa makan yang diberi ialah 1 jam. Itu tidak realistik namanya. Anda merancang untuk mencacatkan program anda sendiri.
Saya percaya, jadual mesti ada ruang anjal. Dalam jadual asal, kita tetapkan sesi tengah hari bermula pada jam 2:30 petang. Tetapi jika peserta kelihatan penat, kita boleh tawarkan peserta untuk melewatkan sesi itu kepada 3:30 petang supaya mereka sempat tidur sekejap. Cumanya, jika semua orang telah bersetuju begitu, maka semua orang kenalah tidur dan bukannya bersembang atau menonton TV.
Maka ketepatan masa, akan diukur pada masa baru yang telah dipersetujui bersama.
Saya rasa sangat badut apabila memaksa juga peserta mendengar ceramah saya dalam keadaan mereka sudah hilang upaya untuk mendengar.
Apatah lagi, jika pelajar yang menganjurkan Tamrin mahu menjana pemikiran Islam peserta, tetapi alat utama pemikiran itu ialah AKAL dan HATI sudah dimusnahkan oleh tidur yang dipotong-potong, dan hati yang disakit-sakitkan.
Ujian kelasakan fizikal, lakukan pada sesi kelasakan fizikal.
Tetapi mulakan dahulu dengan rombakan akal dan kefahaman. Rasulullah SAW tidak melatih sahabat berlaku lasak. Tetapi input kepercayaan yang teguh, menjadikan mereka lebih lasak dari mana-mana pencapaian sejarah manusia. Seorang wanita pun boleh jadi besi dengan sentuhan yang menjunam ke hati. Tanya sahaja Sumayyah, wanita syahidah pertama… kekuatan apakah yang membolehkan beliau memilih mati?
Itu dalam sejarah. Kita boleh mengeluh jika generasi manusia ini makin kemudian makin ‘manja’. Khususnya di zaman generasi yang sangat bebas berfikir ini. Tetapi itulah realitinya. Nak dimarah pun, generasi hari ini adalah begitu. Mereka mungkin lemah fizikal, tetapi mereka berani dan ganas fikiran.
Keberanian berfikir yang ada pada generasi muda hari ini, tidak membolehkan mereka memaafkan pembodohan secara mudah. Perbuatan mendoktrin dan memaksa idea hanyalah manifestasi kedangkalan penganjur yang gagal memahami bagaimana manusia berubah.
Manusia boleh ada hati sekeras batu. Jika anda mahu memecahkan batu itu, anda boleh mengetuknya dengan penukul. Tetapi jika anda mahu membentuk batu itu, maka ia memerlukan kesabaran seperti air yang sabar menitik ke atas batu, lantas beroleh kejayaan.
Di dalam setiap program, jika gagal mendapatkan kawan sekali pun, janganlah membanyak biakkan lawan.
Hormati maruah manusia, menangi hati mereka, berhubunglah sesama manusia secara manusiawi kerana manusia tidak pernah peduli sebanyak mana yang kamu tahu, hinggalah mereka tahu sejauh mana kamu peduli.
Bina jambatan… bukan tembok yang memisahkan.
aliimran159.JPG
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila Engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Aal Imraan 3: 159)
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
19 Mei 2007
__ERTI HIDUP PADA MEMBERI. Perkongsian anda, biar pun hanya secawan kopi amat bermakna dalam usaha menampung perjalanan saifulislam.com ini. Terima kasih
Dipetik sepenuhnya dari laman web SaifulIslam.com
2 months ago
No comments:
Post a Comment