Blogger Layouts

January 31, 2011

Manusia, Akal dan Haiwan







Kehidupan ini penuh rahsia. Kerana itu, ia sentiasa mendebarkan sebagaimana ia juga begitu mengujakan saat ia dibongkar atau ia meljelmakan sendiri hakikat dirinya. Kerana itu juga, manusia terus seronok untuk terus hidup. Bukan lagi kerana perutnya, tetapi kerana akalnya terus lapar mencari hakikat dan rahsia kehidupan.

Itu manusia. Jika haiwan, maka debaran atau keterujaan itu tiada pada mereka. Sebabnya, tiada rahsia yang terhijab di sisi mereka untuk dibongkar dan dinikmati. Mereka tidak lebih selain sebahagian daripada kehidupan dan alam yang mengelilingi manusia. Maksudnya, haiwan itu sendiri adalah rahsia.





Semua sama kecuali manusia. Sebab yang disepakati adalah satu, manusia memiliki suatu ‘wujud’ yang pelik dan rahsia sekali pengenalannya. Dia memiliki akal. Dengannya ia berbeza dari segala di dunia ini. Akal ini melonjakkan manusia untuk menjadi tuan kepada dunia ini. Dunia tercatur pergerakannya oleh akal yang hebat ini. Itulah kehebatan akal. Ia menguasai dunia dengan membongkar rahsia dunia.





Bayangkan, jika bumi ini tanpa akal dan manusia, adakah anda boleh meneka siapakah raja di bumi ini? Harimau atau kancil? Mana satu pun, kedua – duanya hanyalah membangunkan dunia hutan rimba. Tak akan ada Menara Warisan!



Tetapi malang adalah rakan kemanusiaan. Rahsia alam terus kejap. Semakin akal membongkar, semakin alam menari bersama kunci-kunci kerahsiaannya. Dan haiwan, makhluk yang menjadi sebahagian alam yang mengelilingi manusia itu terus menerus menjadi penonton kehidupan, melihat manusia bersilat menerjang badai kerahsiaan yang semakin menyombong.

Saat manusia bergembira dapat melihat bumi dari planet Marikh, haiwan tak pun ambil pusing. Bukanlah kerana haiwan itu sudah pun melihatnya, tetapi kerahsiaan yang baru terbongkar itu bukanlah suatu kerahsiaan di sisi mereka. Mereka telah pun memiliki hakikat kerahsiaan yang tidak memerlukan pembongkaran demi pembongkaran. Bagaimana?

Tahukah manusia siapa yang menganugerahkan mereka akal yang bergeliga itu? Kemudian, mengapa akal itu kekal di dalam diri mereka dan tak pun mengalir masuk ke dalam otak anjing atau kucing kesayangan saat mereka membelai dan memeluknya?

Dalam membelek – belek teori moden barat, ada yang menjawab, akal terhasil daripada proses pemakanan yang panjang yang dilalui manusia. Ertinya akal itu terhasil melalui usaha nenek moyang terdahulu yang bodoh dungu. Jambatan evolusi akhirnya melahirlah manusia baru dengan akal yang hebat!




Jika begitu, namakan makanan manusia dahulu yang tidak dimakan oleh nenek moyang kepada haiwan hari ini, lalu tersadunglah haiwan daripada memiliki akal yang ajaib buat menyaingi akal manusia? Jika begitu, senaraikan makanan terpilih dan suapkannya kepada haiwan hari ini dan kita bersama melihat perubahan otak cicitnya 100 tahun atau 1000 tahun akan datang walau dengan sedikit anjakan. Jika begitu, suapkan manusia dengan makanan haiwan gajah dan kita saksikan adakah dia kemudiannya menjadi manusia berotak gajah?

Maksudnya, adakah manusia hari ini bersedia untuk eksperimen seperti ini? Atau, ia tidak lebih selain jenaka ilmiah? Justeru adakah kita mampu hidup dengan jawaban-jawaban yang bersifat zhan, sangkaan dan andaian yang jauh daripada hakikat dan kepastian itu?

Begitulah manusia, di sebalik keterujaan mengecapi kehidupan yang dibangunkan oleh akal mereka, mereka terus buntu untuk membina keyakinan yang pasti mengenai kehidupan. Jika akal sendiri pun mereka gagal menafsirkan hakikatnya, bagaimanakah boleh mereka terus mendabik dada untuk hanya bergantung pada akal yang bergantung pula kepada keajaiban mata, telinga dan panca indera lainnya?

Jadi, tidakkah manusia terlalu memerlukan sokongan lain di samping akalnya? Ya, demi kehidupan yang lebih bermakna dengan ilmu dan keyakinan yang benar terhadap hakikat kehidupan, akal memerlukan rakan yang membantu. Tetapi apakah yang lebih gagah daripada akal? Berjalanlah sampai menjejak pucuk dunia atau koreklah lubang sampai menerobos perut bumi atau binalah tangga sampai mencakar dada langit, anda tidak akan menemui sebarang apapun yang lebih ajaib daripada akal kecuali satu. Satu itu bukan harta, bukan pangkat, bukan A dan bukan juga Z. Satu itu adalah agama. Agama yang bermaksud wahyu atau berita dari alam ghaib.

Agama itu wujud dan wujudnya adalah lebih wujud daripada akal. Ia lebih menempati dan lebih dekat di dalam diri manusia. Ada manusia berusaha menolaknya, tetapi tidak pernah dan tidak akan ada manusia yang berjaya menolaknya daripada kehidupan.




Para rasul membawa ugama semenjak sekian lama sepanjang sejarah kehidupan manusia dan ada di antara mereka yang mati dibunuh kerananya. Tetapi agama tidak pernah mampu dibunuh dan dikuburkan. Kini, walaupun selepas lebih seribu tahun dunia bergerak tanpa rasul yang diutus dari alam ghaib, agama terus hidup dan mustahil manusia mampu meramal kematian untuk ugama.

Agama lebih ajaib daripada akal. Ketamadunan manusia dibina oleh jutaan akal yang wujud di dalam diri jutaan manusia. Tetapi manusia bertamadun sepanjang zaman dibina oleh agama dari dalam diri sekelompok kecil insan bergelar al rasul. Akal membina dunia manakala agama pula membina manusia. Manakah yang lebih menakjubkan?

Tetapi malang bagi agama (Hakikatnya, malang bagi manusia). Manusia melayan ugama seperti anjing kurap. Semata-mata kerana ianya datang daripada bukan diri mereka, tetapi al rasul, maka ia ditentang habis-habisan. Mereka mendakwa ianya ghaibiyyat yang bersifat khayalan dan dongengan, lalu mereka menolak agama.

Malang buat manusia. Tidakkah agama telah memperkenalkan dirinya dengan aneka kerahsiaan yang dibongkar, sedang manusia tak pun mampu membongkar rahsia wujud akal sendiri yang diagungkannya itu? Walhal, agama jugalah yang telah membuka kunci rahsia hakikat akal untuk manusia memahami hakikat diri.

Agama berkata atau berfirman; Akal adalah tunjang taklif. Akal begitu khas dicipta untuk manusia menerima beban kehidupan ciptaan Allah di bumi. Manusia dinobat sebagai khalifah kepada pencipta alam untuk mentadbir bumi dan melaksanakan kehendakNya. Akal adalah senjata. Senjata khusus milik khalifah Allah di muka bumi.

Tetapi, justeru manusia enggan menerima amanah agung ini, segala – galanya menjadi payah buat agama menempatkan diri di celah kehidupan duniawi ini. Yang kabur disembah, manakala yang terang dibutakan.

Dr Said Ramadhan al Buti, seorang cendekiawan besar muslim menggambarkan, jika taklif Ilahi itu menuntut manusia agar beriman bahawa ‘matahari itu wujud’, nescaya akan ada manusia yang bangkit untuk menafikannya dengan pelbagai hujah yang dicipta sambil berkata, matahari itu wujudnya hanyalah khayalan! Semata – semata kerana ianya taklif Ilahi, segala yang jelas dan hakikat dibalik-balikkan sehingga tampak kabur, khayal dan batil.

Maka beruntunglah mereka yang menabalkan ugama sebagai raja kehidupan dan akal sebagai pengawalnya.

( Artikel ini disiarkan untuk kolum Agama Dan kehidupan akhbar Siasah/4 )


dari nikabduh.wordpress.com