2 months ago
November 30, 2008
Lima negeri laksana fatwa pengharaman yoga
KUALA LUMPUR: Kedah akan melaksanakan fatwa pengharaman senaman yoga yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan, selepas diwartakan, menjadikan lima negeri sepakat mengambil langkah berkenaan.
Empat negeri lain yang sudah menyuarakan tindakan adalah Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Sarawak.
Sehubungan itu, Majlis Agama Islam Kedah (Maik) akan mengadakan mesyuarat dengan ahlinya sebelum mewartakan fatwa mengharamkan yoga secara sistematik di kalangan umat Islam di negeri ini dalam tempoh terdekat.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyerahkan kepada mufti negeri untuk menguatkuasakan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan itu.
“Saya serahkan perkara itu kepada mufti kerana saya tidak berminat dan tidak tahu mengenai yoga. Masih banyak perkara lain yang perlu difikirkan,” katanya.
Yang Dipertua Maik, Datuk Syeikh Uzir Baharom ketika dihubungi berkata, mesyuarat itu akan diadakan bersama Mufti Kedah, Datuk Syeikh Hasbullah Abdul Halim, membincangkan secara lebih mendalam mengenai pengharaman yoga.
Beliau berkata, keputusan itu tidak boleh diputuskan secara terburu-buru, sebaliknya memerlukan perbincangan teliti sebelum keputusan dibawa mengadap Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah untuk mendapat perkenan baginda.
"Maik belum lagi bermesyuarat dan kita jangkakan ia diadakan dalam dua minggu lagi sejurus kepulangan saya dari Kaherah, Mesir. Selain perlu melalui Mufti, usaha mewartakannya perlu mendapat perkenan Sultan Kedah," katanya ketika dihubungi di Kaherah, Mesir, semalam.
Di IPOH, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury bersetuju dengan pandangan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah supaya Jawatankuasa Fatwa Perak mempertimbangkan secara terperinci mengenai aktiviti itu.
"Raja Nazrin sudah menitahkan sedemikian (meneliti isu pengharaman yoga), jadi sebarang keputusan jawatankuasa akan dibawa ke Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) untuk diteliti sebelum dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
"Kita menunggu Jawatankuasa Fatwa Perak bersidang pada 9 Disember ini untuk memperincikan pengharaman senaman itu," katanya yang enggan mengulas lanjut.
Di SHAH ALAM, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan Selangor akan hanya mewartakan fatwa mengenai senaman itu selepas mendapat pandangan daripada Majlis Fatwa Negeri dan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco petang semalam, beliau berharap semua pihak menerima keputusan baginda secara positif.
"Sultan Selangor melalui Setiausaha Sulitnya, Datuk Mohd Munir Bani melahirkan dukacita kerana keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa dihebahkan di media massa sebelum ia dipersembahkan kepada Raja-Raja sehingga menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan masyarakat," katanya.
Abdul Khalid berkata, Sultan Selangor terkilan terhadap tindakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) supaya Jawatankuasa Fatwa Selangor mengeluarkan fatwa sama dan memohon diperkenankan baginda.
Katanya, baginda tidak mahu dianggap sebagai ‘rubber-stamp’ dengan menandatangani suatu fatwa tanpa diberi penerangan terperinci.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment