Blogger Layouts

February 05, 2010

Kepincangan PRK: Universiti digesa segerakan 'post mortem'




Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Feb: Ekoran beberapa kepincangan yang didakwa berlaku dalam proses Pilihan Raya Kampus (PRK) baru-baru ini, Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (Bantah) menggesa semua universiti mengadakan 'post mortem' dengan kadar segera.

Pengerusinya, Mohd Aizat Bin Mohd Salleh mendakwa kepincangan PRK kali ini bermula dengan arahan pihak kerajaan supaya melaksanakan sistem e-undi sehinggalah kepada bantahan beberapa buah universiti terhadap keputusan PRK.

Antara yang perlu diteliti jelasnya adalah berkaitan kelemahan sisten e-undi yang menjadi pertikaian banyak pihak khususnya kerosakan pada sistem komputer di Universiti Malaya.

"Ia berlaku di kolej kediaman ke-12, dan menyaksikan beberapa mahasiswa tidak dapat mengundi. Ini ditambah lagi dengan sistem yang diambil-alih oleh pegawai kolej yang tidak berautoriti di dalam sistem tersebut.

"Server Down ini juga turut berlaku di kolej kediaman keempat dan di fakulti ekonomi yang juga mengalami masalah yang sama. Hasil laporan yang diterima, wujud unsur manipulasi sistem oleh pihak-pihak yang berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan.

Turut perlu diberi perhatian adalah berkaitan dakwaan Penyalah gunaan kuasa dalam pilihan raya termasuk melakukan paksaan kepada mahasiswa mengundi calon tertentu.

"Di kolej kediaman ketujuh Universiti Malaya, seorang mahasiswa OKU (kurang upaya), telah dipaksa tanpa kerelaan untuk mengundi calon-calon tertentu.

"Beliau telah diberikan senarai nama untuk diundi oleh pegawai pilihan raya di kolej berkenaan," katanya lagi.

Selain itu dakwaan keganasan pengawal keselamatan dan polis sehingga membawa kepada penangkapan beberapa pelajar yang mengemukakan bantahan juga jelasnya perlu dikaji.

"Mahasiswa telah mengadakan bantahan terhadap keputusan pilihan raya di Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Alam Bina kerana berlaku kesilapan kiraan di fakulti tersebut.

"Desakan mereka kepada pihak pentadbiran Universiti berlarutan sehingga mengadakan demontrasi aman di Masjid berdekatan dan sehingga menyebabkan berlaku tangkapan ke atas dua mahasiswa.

Penindasan fizikal juga dakwanya berlaku di mana mahasiswa dipukul dan diterajang oleh pegawai keselamatan yang bertindak emosi dalam kejadian tersebut.

Selain masalah kesilapan kiraan di fakulti tersebut jelasnya mahasiswa juga tidak berpuas hati dengan pelaksanaan sistem PRK di universiti itu yang didakwa tidak telus.

Ekoran beberapa kepincangan yang timbul itu, Bantah jelasnya menuntut sistem e-undi dimansuhkan dan mendesak pihak universiti mengambil tindakan terhadap jawatankuasa pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) yang didapati terlibat dengan penyelewengan, ugutan dan penindasan mahasiswa.

No comments: